Hanya dua tempat kosong tinggal untuk di isi dalam skuad Kuala Lumpur selepas Haziq Muiz Abdul menjadi pemain terbaru yang menyertai pasukan Liga Super bagi musim 2019.
Peman tengah Muiz, 22, beraksi untuk Felcra musim lepas dan menjadi pemain baru ketujuh untuk menandatangani bersama KL, membawa jumlah pemain yang bakal didaftarkan kepada 28. Maksimum pemain yang boleh didaftar adalah 30.
Dengan empat tempat dikhaskan untuk penjaga gol, ini bermaksud hanya ada dua kekosongan untuk mana-mana pemain lain yang KL ingin bawa masuk.
Hanya seorang pemain masih di bawah penilaian jurulatih Yusri Che Lah, iaitu bekas penyerang KL, Arif Anwar.
Buat masa ini, Yusri tiada perancangan untuk menambah bilangan pemain dalam skuad senior dan masih belum memutuskan kedudukan Arif.
“Selepas Muiz and Khair Jones dibawa masuk oleh saya, tiada lagi pemain yang kami mahu buat masa ini sebab ada tiga pemain dari skuad Piala Presiden yang berlatih dengan saya,” kata Yusri, yang tenang menghadapi spekulasi yang menyelubungi pemain pertahanan Syazwan Andik Ishak.
“Sekiranya ada pemain yang tidak ada hati untuk bermain untuk KL, seelok-eloknya beritahu awal supaya kami boleh meneruskan perancangan untuk KL. Saya hanya mahu pemain yang betul-betul berminat dan komitmen penuh.”
Bagi situasi penjaga gol, difahami Sharbinee Allawee Ramli, Faridzuean Kamaruddin dan Khatul Anuar Jalil bakal didaftarkan untuk musim 2019.
Dengan Ahmad Solehin Mamat masih menjalani pemulihan selepas pembedahan bahu, ini menjadikan slot ke-empat rebutan antara Kamarul Effandi Rahim dan penjaga gol skuad Piala Presiden 2018, Ameerul Eqhwan Fauzi.
Selain Muiz dan Khair, pemain baru lain adalah Faridzuean, Alif Samsuddin, Fitri Omar, Ryutaro Karube dan Sylvano Comvalius manakala Azman Chuchu dinaikkan dari skuad bawah-21.
KL meneruskan persiapan untuk musim baru dengan perlawanan persahabatan menentang Universiti Teknologi Mara pada Sabtu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.