Liga Premier
KUALA LUMPUR 0 KUCHING 2
Bryan Jones Anicezio 21′, Yuta Suzuki 34′
Kuala Lumpur dijangka akan bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim di suku akhir Piala Malaysia selepas menutup tirai Liga Premier 2020 di tempat ketiga hujung minggu lalu.
KL mengalami kekalahan 2-0 kepada Kuching di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu dalam perlawanan terakhir Liga Premier sebelum undian Piala Malaysia pada Ahad memberi KL bye di pusingan pertama berikut penarikan Sabah dari kejohanan tersebut.
Ini adalah kali pertama KL akan beraksi di suku akhir Piala Malaysia selepas peringkat ini diperkenalkan semula pada tahun 2000. Kali terakhir KL beraksi di peringkat kalah-mati suku akhir adalah pada 1989 sebelum menjuarai Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.
Namun sejak peringkat kumpulan diperkenalkan pada 1990, hanya dua kali KL mara ke pusingan kalah-mati iaitu ke separuh akhir pada 1991 dan 1992 sebelum terkandas di peringkat kumpulan setiap kali selepas itu.
Juara Liga Super tujuh kali, JDT, diundi bersama Kuching dalam pusingan pertama dan pemenang akan menjadi tuan rumah kepada KL di suku akhir pada 12 atau 13 November.
“Kita cuba pergi sejauh mungkin walaupun telah mendapat slot terus ke suku akhir,” kata jurulatih KL, Nidzam Adzha Yusof yang pernah membimbing Kuala Muda Naza ke suku akhir Piala Malaysia pada 2009 sebagai pemangku jurulatih. “Tetapi kita perlu perbaiki kelemahan permainan dan cuba beri tentangan yang sebaik mungkin pada lawan di suku akhir nanti.”
Harapan KL untuk memintas Terengganu II dan menghabiskan Liga Premier sebagai naib juara musnah kalah hasil kesilapan pertahanan dalam perlawanan yang tertunda selama tiga minggu menentang Kuching.
Namum, KL telah pun memastikan tempat ke Liga Super musim depan dengan mencatat enam kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan untuk 21 mata. Francis Kone menjadi penjaring tertinggi KL dengan tujuh gol dan diikuti oleh Paulo Josue (empat) dan Indra Putra Mahayuddin (tiga).
Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Cheras dipindah ke Melaka akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat di Kuala Lumpur sehingga 9 November. Shukor Adan tidak terlibat akibat kecederaan, Indra Putra Mahayuddin berada di bangku simpanan manakala Syazwan Tajuddin membuat penampilan pertama bersama KL.
Ketiadaan Izreen Izwandy dan Qayyum Marjoni Sabil akibat kecederaan dan masalah kesihatan memaksa Nidzam menggunakan Azim Rahim di sayap kiri yang kurang menjadi kegemaran pemain itu.
KL menguasai permainan untuk 20 minit pertama apabila tendangan percuma Josue terkena palang manakala Josue dan Fakrul Aiman Sidid kedua-duanya tersasar apabila hanya berdepan penjaga gol Kuching.
Tetapi kesilapan Raimi Md Nor yang mendada bola balik ke penjaga gol menghadiahkan gol pertama Kuching kepada Bryan Jones Anicezio manakala kegagalan pertahanan mengeluarkan bola dari kotak penalti dengan baik memberi ruang kepada Yuta Suzuki untuk menjaringkan gol kedua dengan rembatan leret.
Nidzam mengeluarkan Raimi dan Syazwan pada separuh masa dan memasukkan Indra dan Fandi Othman tetapi usaha mereka digagalkan oleh penjaga gol Kuching, Iqbal Suhimi, yang cemerlang menafikan beberapa percubaan KL.
Ini termasuk tandukan jarak dekat oleh Francis Kone manakala Josue, Fakrul dan Zhafri Yahya juga melihat percubaan mereka diselamatkan.
“Kalau kita memanfaatkan tiga peluang dalam 20 minit pertama tadi, lain kesudahannya. Tetapi kesilapan pertahanan membawa padah dan walaupun kita cuba bangkit, penjaga gol Kuching bermain dengan cemerlang,” kata Nidzam.
Kuala Lumpur – Zamir Selamat; Syazwan Tajudin (Indra Putra Mahayuddin, 46), Nik Shahrul Azim Halim, Azamat Baimatov, Raimi Md Nor (Fandi Othman, 46); Nicolas Dul (Akram Mahinan, 76), Zhafri Yahya, Paulo Josue; Fakrul Aiman Sidid, Azim Rahim, Francis Kone (Alif Safwan Sallahuddin, 76)