Mungkin berpatutan yang tugas untuk menyelamatkan Kuala Lumpur daripada tersingkir dari Liga Super jatuh kepada seorang bekas pemain kelahiran ibukota.
Ternyata tugas yang berat menanti Rosle Md Derus, selepas jurulatih Chong Yee Fatt direhatkan, bermula dengan kunjungan ke Pahang pada Sabtu dengan KL berada di kedudukan yang bahaya.
Rosle, yang merupakan penolong kepada Chong sebelum ini, kemudian perlu berdepan Felda United, Johor Darul Ta’zim dan Perak selepas pulang dari Kuantan.
Bekas pemain KL ini mensasarkan enam dari 12 mata yang masih boleh diperolehi sebagai mencukupi untuk menjamin KL berada di Liga Super semusim lagi.
“Benda ini tidak terduga dan keadaan menjadi kelam kabut sikit. Tetapi keputusan telah dibuat oleh pengurusan dan saya perlu teruskan tugas saya,” kata Rosle mengenai tugas barunya.
“Saya jangka perlawanan di Pahang menarik sebab Pahang pun baru terkeluar dari Piala FA dan KL perlukan mata. Saya harapkan komitmen pemain-pemain untuk bawa kemenangan.”
“Banyak juga bergantung kepada pasukan-pasukan di bawah tetapi mungkin enam mata lagi diperlukan dari empat perlawanan. Kalau boleh, nak 12 mata penuh tapi itu agak sukar.”
Tiga kekalahan berturut-turut kepada Selangor, Melaka dan Terengganu memaksa pengurusan mengambil tindakan untuk menukar jurulatih buat kali kedua musim ini, selepas Chong sendiri mengambil alih dari Yusri Che Lah.
KL masih berada di luar zon penyingkiran tetapi terikat dengan PKNP di atas 14 mata dan hanya dipisahkan oleh perbezaan gol. Felda pula menghuni tangga terbawah dengan 12 mata tetapi mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Selepas tidak digunakan dalam kekalahan 3-1 kepada Terengganu pada perlawanan lepas, penyerang Guilherme De Paula dijangka akan bermain.
“Kita tak banyak pilihan sebab Darko Markovic digantung untuk satu perlawanan dan KL perlukan kemenangan,” kata Rosle.”
Selepas beraksi untuk KL sebagai pemain tengah pada 2000-01, Rosle berasa bangga dapat peluang untuk membantu KL semula.
“Saya sangat bangga kerana saya memulakan kerjaya bolasepak dengan KL dan sebagai jurulatih ini adalah peluang yang saya tak jangka atau impikan, lebih-lebih lagi bersama KL. Saya dah dapat sekarang jadi saya nak buat yang terbaik,” kata Rosle.