Dua bekas pemain Kuala Lumpur kembali ke pangkuan skuad ibukota untuk melengkapkan pasukan bagi persaingan Liga Premier musim 2020.
Kehadiran Nicolas Dul dan Raimi Md Nor bermaksud jurulatih Ndizam Adzha Yusoff mempunyai 27 pemain untuk menggalas perjuangan bagi kempen baru.
Dul, pemain tengah dari Argentina, merupakan tunjang pasukan KL yang menjuarai Liga Premier pada 2017 dengan 26 penampilan dan satu gol.
Raimi pula beraksi untuk KL bagi satu musim 10 tahun lalu ketika KL berstatus pasukan Liga Super dan menjaringkan lima gol dalam 29 penampilan.
Dul menggantikan Guy Gnabouyou, yang dilepaskan oleh KL selepas pemain dari Perancis itu tidak meyakinkan Nidzam dalam beberapa perlawanan persahabatan.
“Saya gembira pulang ke KL dan saya berharap kami boleh mengulang kejayaan menjuarai liga seperti pada 2017,” kata Dul, 32, yang beraksi untuk Dak Dak Melawati dalam Liga M3 musim lepas. “Saya perlu tingkatkan tahap kecergasan tetapi saya yakin akan sedia menjelang permulaan liga.”
Dul berharap dapat membentuk semula gandingan bahagian tengah bersama Paulo Josue dan Zhafri Yahya yang membawa kepada kejayaan KL pada 2017.
“Banyak perubahan berlaku di KL dan hanya Paulo, Zhafri dan Hafiz (Johar) yang saya kenal dari tiga tahun dulu,” kata Dul. “Tetapi saya rasa pasukan ini mempunyai ramai pemain yang bagus dan mampu mencapai kejayaan.”
Raimi di bawa masuk untuk merebut tempat di bahagian pertahanan kiri dengan Qayyum Marjoni Sabil dan Fandi Othman berikutan kehilangan pemain bawah-21 Nabil Hakim Bokhari kepada Petaling Jaya City.
“Saya mahu mencapai misi peribadi dan pasukan untuk naik semula ke Liga Super,” kata Raimi, yang beraksi untuk Sime Darby, Felda United, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka sebelum ini. “Saya mahu buktikan pada semua yang saya masih mampu bermain dan membantu pasukan pada usia 34.”
Sebelum ini KL turut mengesahkan kedatangan penyerang dari Togo, Francis Kone, yang juga merupakan pemenang anugerah Fairplay FIFA pada 2017, dan telah menjaringkan enam gol dalam lima perlawanan persahabatan.
Turut bersama KL ialah penjaga gol Ernest Wong, pemain naturalisasi dari New Zealand yang sertai dari Johor Darul Ta’zim II.
KL akan bertemu Kelantan di Kota Baru pada 29 Febuari dalam perlawanan pertama Liga Premier.
Sebelum itu, KL akan teruskan persiapan pra-musim dengan perlawanan persahabatan menentang Selangor di Cheras pada 15 Febuari dan Pahang di Kuantan pada 21 Febuari.
SKUAD KUALA LUMPUR 2020
Penjaga gol
Ernest Wong, Khatul Anuar Jalil, Zamir Selamat
Pertahanan
Alif Samsudin, Azamat Baimatov, Fandi Othman, Fauzan Fauzi, Nik Shahrul Azim Halim, Qayyum Marjoni Sabil, Raimi Md Nor, Shukor Adan, S. Subramaniam, Syazwan Tajudin
Tengah
Ahmad Ezrie Shafizie Sazali, Akram Mahinan, Dzulfahmi Hadi, Fakrul Aiman Sidid, Hafiz Johar, Indra Putra Mahayuddin, Nicolas Dul, Paulo Josue, Zhafri Yahya
Penyerang
Azim Rahim, Francis Kone, Nabil Ahmad Latpi, Sean Gan Giannelli, Shafiq Shaharuddin